ukhuwah itu indah..

Showing posts with label baitul muslim. Show all posts
Showing posts with label baitul muslim. Show all posts

Thursday, May 19, 2011

Kahwin Awal

sumber artikel ::~~ http://ms.langitilahi.com/perkongsian-kahwin-awal/





Kahwin awal. Ramai akan memberikan pro dan kontranya. Benda ini biasanya diutarakan oleh remaja, pelajar. ‘Awal’ yang dimaksudkan dalam ayat ‘kahwin awal’ itu biasanya dilihat pada umur 23 ke bawah. Sebab bila dah umur 24, orang tak ramai bising menyatakan itu awal. Walaupun ada juga sebahagian orang yang saya jumpa, dia kata bahawa kahwin umur 25 itu awal juga. Katanya umur 30 baru ok. Entahlah.

Cuma biarlah saya fokuskan ‘kahwin awal’ ini kepada yang berumur 23 ke bawah ya. Sebab ada benda dalam artikel ini yang saya suka nak khaskan buat mereka yang berumur baya-baya saya ini.

Pertamanya, saya bukan nak kata ‘kahwin awal itu betul’ atau ‘kahwin awal itu salah’. Pada saya, kahwin awal boleh jadi betul, dan boleh jadi salah. Pokok pangkalnya, dalam hal kahwin awal, saya suka untuk membawa diri saya dan diri kita semua untuk melihat semula kepada dua perkara utama dalam isu kahwin awal.

1. Membina rumah tangga.

2. Orang yang hendak membina rumah tangga.

Kenapa saya tak sebut ‘kahwin’. Sebab ‘kahwin’ memang senang. Sehari je kahwin. Majlis kahwin. Akad nikah. Dan lain-lain. Sehari sahaja. Tetapi siapa nak berumah tangga sehari sahaja? Kalau ada tak mengapa. Tak payah baca yang ini.

Tujuan berumah tangga

Maka saya membawa pada asas terlebih dahulu. Apa tujuan berumah tangga?

Rata-rata remaja akan mengutarakan jawapan seperti berikut:

1. Cinta.

2. Tak nak berdosa. Nak tunduk pandangan. Jauhi zina.

3. Nak lorongkan nafsu ke jalan yang benar.

Biasanya untuk pemuda yang belajar sikit, dia akan mengutarakan hadith ini sebagai dalilnya.

Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…” (Muttafaq ‘Alaih).

Maka di sini, ramai yang melihat kahwin awal adalah solusi kepada cintanya yang berbuah semasa remaja, semasa belajar. Kahwin awal adalah solusinya untuk menjauhkan dosa dari berhubungan cara yang tidak dibenarkan Islam. Kahwin awal adalah solusi untuk dia menjaga diri dari dari nafsu yang tidak terkawal dan sebagainya.

Tetapi, benarkah tujuan berumah tangga hanya itu?

Rumah tangga bukan sekadar itu.

Rumah tangga hakikatnya adalah madrasah pertama kepada manusia. Sedar atau tidak, ia adalah hakikat yang tidak boleh ditolak. Majoriti masyarakat dunia lahir dari institusi rumah tangga. Mungkin sebahagian kecil lahir di tengah hutan, di lorong gelap, dan membesar tanpa keluarga, itu adalah kes yang boleh dikira terpencil berbanding majoriti seluruh dunia.

Apabila kita memandang bahawa rumah tangga adalah madrasah membina individu-individu dalam masyarakat, dan tanpa kita sedari rumah tangga merupakan asas terpenting kepada sebuah masyarakat, negara, dan ummah.

Memang wujud institusi lain dalam kehidupan kita seperti nurseri, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, dan universiti. Itu kalau tidak kita campur dengan institusi ‘underground’ baik yang baik, mahupun yang buruk.

Tetapi kita dapat lihat betapa ‘asas peribadi’ yang datang ke institusi-institusi tadi hakikatnya sudah terbina sebelum mereka masuk ke institusi-institusi tadi. Di manakah ianya terbina?

Di rumah. Di dalam rumah tangga. Di tangan mak ayah, atau sesiapa sahaja yang menjadi ‘guru pertama’nya di tempat dia membesar.

Maka sekali lagi kita lihat bahawa, asasnya adalah rumah tangga.

Maka, dapatkah kita dapat membayangkan bagaimana nanti sekiranya rumah tangga yang terbina adalah rumah tangga yang rosak, apakah efeknya kepada pembinaan masyarakat dan ummah?

Ya. Akhirnya kita melihat bahawa, rumah tangga yang kita bina bukan semata-mata kita.

Kita hakikatnya sedang membina ummah.

Rumah tangga bukan sekadar sehari dua.

Baik. Memahami perkara tadi, maka kita perlu melihat bahawa rumah tangga adalah satu perjalanan yang panjang. Bukan sehari dua, kemudian kita robohkan. Pada rumah tangga itu ada tanggungjawab. Tujuannya bukan semata-mata kepuasan hawa nafsu, hendak menjauh daripada dosa dan cintan-cintun semata-mata. Ia meliputi hendak membuat lebih banyak kebaikan(dengan membina rumah tangga yang bermanfaat untuk Islam, mampu memberi sumbangan kepada Islam) dan membawa definisi cinta yang sebenar, yakni hendak bersama hingga ke syurga.

Dan akhirnya kita dapat lihat di sini bahawa rumah tangga bukanlah keseronokan dua individu bernama suami dan isteri semata-mata. Bukanlah di dalamnya wujud semata-mata keindahan. Tetapi wujud juga halangan dan cabaran.

Maka di sini kita melihat bahawa, ada tanggungjawab lain menanti kita di dalam rumah tangga. Tanggungjawab yang memerlukan kita serius dan matang dalam membuat keputusan. Tanggungjawab yang memerlukan kita bijak dalam mengawal emosi dan perasaan. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai peribadi yang baik dan mampu mendidik. Tanggungjawab yang memerlukan kita mempunyai teknik pengurusan yang baik dan mampu merancang dengan baik.

Semua ini kita perlukan untuk menjalankan rumah tangga yang baik dan diredhai oleh Allah SWT.

Dapatkah kita melihat besarnya rumah tangga?

Entahlah. Kalau saya, saya pandang rumah tangga itu macam inilah.

Maka datanglah hal kahwin awal.

Apabila membicarakan hal kahwin awal, maka guru saya, Cikgu Azmi Bahari ada menyatakan berkenaan: “Yang layak berkahwin”.

Ya. Sebenarnya pada saya, kahwin awal itu bukanlah masalah sekiranya yang nak kahwin awal itu sudah layak berkahwin. Maka timbul persoalan, siapakah yang layak berkahwin.

Cikgu Azmi Bahari cakap pada saya:

“Sekiranya enta dah mampu nak sara keluarga, itu dikira layak berkahwinlah.”

Sebahagian orang akan melihat bahawa ini satu cubaan membangkitkan kepentingan wang dalam berumah tangga. Maka ada orang akan kata pada saya bahawa, jangan takut fasal duit, itu semua nanti adalah tu.

Baik, saya bukan takut fasal duit. Dan saya tak rasa Cikgu Azmi Bahari berkata ke arah itu juga. Pada saya, maksud sara keluarga ini adalah orang itu mampu menyara dirinya sendiri terlebih dahulu. Mampu menyara diri ini, tidaklah semestinya duit banyak. Maksudnya, dia mampu berdikari, menguruskan dirinya, mampu mencari sumber wang dan mampu berusaha. Bukan hidup bergantung kepada orang lain, bukannya orang yang tidak mahu mempertingkatkan diri apabila menyedari kekurangan, bukannya mendapat wang dari sumber yang dia tidak usahakan dan sebagainya.

Hal ini apabila kita pulang kepada apa yang saya nyatakan pada sub topik-sub topik sebelumnya, maka ia adalah amat relevan.

Kita perlu menampung satu tanggungjawab yang berat dan besar. Bukan sekadar hendak memberi makan, bahkan memimpin orang ke syurga. Bukan sekadar untuk keseronokan diri, tetapi untuk kebaikan ummah. Maka adakah sebenarnya kita layak melakukan sesuatu perkara yang sangat besar ini, dalam keadaan kita sendiri tidak pandai menguruskan diri dan berdikari?

Jadi, apabila kita sudah mampu menguruskan diri sendiri dan pandai berdikari, tidak kiralah umur berapa pun, maka kahwinlah sekiranya mahu. Bina rumah tangga. Sebab itu dahulu, orang tidak hairan dengan datuk nenek kita yang berkahwin umurnya 17 tahun, 16 tahun, 15 tahun dan sebagainya. Bukan sebab pada umur itu mereka sudah mempunyai harta yang banyak. Tetapi sebab mereka sudah layak berkahwin. Mereka pandai mengurus diri dan berdikari dengan baik.

Boleh bandingkan datuk nenek kita masa umur mereka 17 tahun, dengan pelajar SPM 17 tahun hari ini.

Pada saya, kalau sekadar ‘mampu’ untuk menampung kos perkahwinan yang hanya makan masa sehari itu, semua orang boleh. Yang mampu RM40,000, kahwin dengan RM40,000. Ada juga yang buat majlis sekitar RM2,000 sahaja. Kahwin memang senang.

Tetapi berumah tangga? Itu satu perkara yang lain.

Tak mengapa, mak ayah tampung.

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” Surah An-Nuur ayat 32.

Maka ada remaja yang hendak kahwin awal, merasa mudah dengan bergantung terus kepada ibu bapa mereka berdasarkan dalil di atas.

“Tak apa, ayah ana ada.”

“Tak apa, mak ana boleh tampung.”

“Kos majlis kahwin, hantaran, semua ummi ana bayar.”

“Ayah ana kata dia nak hadiahkan rumah dan kereta. Ana tak payah risau dah.”

Hakikatnya. Pada asas, ibu bapa tidak perlu menampung anak lelaki mereka. Sepatutnya, seorang lelaki yang mempunyai hajat untuk berkahwin, perlulah berusaha untuk memenuhi keperluannya agar mampu berkahwin dan menggerakkan rumah tangga.

Tetapi bukanlah salah apabila kita hendak menjaga kehormatan Islam dengan mengelak tragedi seperti berzina, rogol dan sebagainya dengan ibu bapa menampung atau membiayai perkahwinan si anak dan mempermudahkan perjalanan rumah tangganya.

Cuma kenapa saya bangkitkan hal ini di sini?

Kerana saya hendak kita kembali melihat kepada tujuan rumah tangga dan peranannya kepada ummah seperti di atas. Pada saya, orang yang hendak berkahwin awal, kemudian meletakkan pergantungan rumah tangganya kepada kedua ibu bapanya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Rumah minta mak ayah belikan. Kereta nak mak ayah tampung. Sedangkan majlis kahwin dan segala urusannya juga mak ayah yang berikan dana. Tiada dari duit sendiri yang dikumpul dengan penat lelah. Tiada dari usaha keras sendiri berusaha mencari dana. Maka di sini ada satu kepincangan dalam isu memandang berat terhadap tanggungjawab.

Bahkan, kita dapat melihat bahawa isu menampung keperluan hidup berumah tangga adalah tanggungjawab ketua keluarga yakni Si Suami. Bukan tanggungjawab ibu bapa Si Suami.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik kamu adalah yang makan dari hasil usaha kamu sendiri” Hadith riwayat Ahmad.

Dan firman Allah SWT: “…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” Surah Al-Baqarah ayat 233.

Jadi apakah seorang ketua keluarga, yang dalam perhitungan dan perancangannya: “Tak apa, mak ayah ana ada. Diorang boleh sara ana dengan isteri.”

Persoalannya, apakah kahwin dan rumah tangga itu semata-mata hal penyaraan?

Konsikuensi tidak matang terhadap rumah tangga

Apabila tujuan berumah tangga tidak jelas, atau yang mendirikan rumah tangga tidak matang, tidak mampu, maka kesan terhadap rumah tangga adalah buruk.

Perceraian, kepincangan, anak-anak yang tidak terurus, kehidupan yang tidak bahagia dan lebih buruk lagi kepincangan ummah dan kemerosotan kualiti masyarakat. Oh, jangan ceritalah pada saya berkenaan mencari keredhaan Allah SWT dan membawa keluarga bersama ke syurga apabila rumah tangga sudah tidak terurus.

Remaja cenderung melihat kahwin awal adalah satu-satunya penyelesaian dalam hal cinta, menjauhi dosa, takut zina dan sebagainya, sekaligus mematikan opsi-opsi yang lain yang hakikatnya wujud. Sepatutnya kita berpandangan jauh dan melihat dengan teliti.

Apakah kebaikan sebentar kemudian membawa keburukan yang bertali arus itu solusi yang hakiki?

Maka habisilah dan telitilah sabda Rasulullah SAW itu.

Maka saya suka hendak menunjukkan kepada anda akan baki daripada hadith Rasulullah SAW yang saya utarakan di awal artikel ini tadi.

Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri…” (Muttafaq ‘Alaih).

Sempurnya hadith itu adalah begini:

Rasulullah SAW ada bersabda: “Wahai sekalian para pemuda, barangsiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah segera bernikah, kerana nikah itu lebih menundukkan mata dan lebih menjaga kehormatan diri, dan barangsiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu baginya adalah benteng.(Muttafaq ‘Alaih).

Kahwin awal hanyalah untuk orang yang layak berkahwin awal. Yang mampu. Justeru, apabila kita menyedari bahawa kita bukanlah dari golongan yang ‘mampu’, maka hendaklah kita berpuasa dan memohon perlindungan daripada Allah, menjauhkan diri dari punca-punca yang boleh mendorong kita ke arah keingkaran kepadaNya, dan pada masa yang sama bermati-matian berusaha mempertingkatkan diri kita untuk menjadi orang yang layak berkahwin, orang yang mampu berkahwin.

Diperhatikan semula, hadith ini selain dinyatakan perihal kahwin sebagai solusi, ia juga mengutarakan ‘bertahan dan mempertingkatkan diri’ sebagai solusi. Apakah natijah puasa? Taqwa. Dan taqwa itu natijahnya adalah peningkatan terhadap peribadi. Mengapa Rasulullah tidak tinggalkan solusinya sekadar ‘kahwin’ semata-mata?

Kerana ‘mampu’ adalah satu indikator yang amat penting dalam berumah tangga.

Rumah tangga bukan perkara sehari dua.

Rumah tangga bukan hal kamu berdua(lelaki dan perempuan).

Rumah tangga hal ummah pada hakikatnya.

Kita kahwin bukan semata-mata nak halalkan chit-chat kita dalam YM.

Kita bukan berkahwin semata-mata untuk halalkan pegang tangan peluk-peluk.

Kita bukan berkahwin semata-mata nak halalkan telefon kita bergayut-gayut selama ini.

Kita bukan berkahwin semata-mata kerana nak halalkan dating kita selama ini.

Bukan semata-mata itu semua dan bukan.

Rumah tangga lebih besar dari hal kita berdua. Ia lebih panjang dari apa yang kita sangkakan. Bukan terbina atas suka-suka semata-mata. Tetapi perlu dibina dengan perancangan hakikatnya.

Penutup: Saya bukan kata tak boleh kahwin awal.

Artikel ini bukan melarang kahwin awal. Kalau rasanya sudah mampu, kahwinlah. Artikel ini juga bukan melarang ibu bapa untuk tampung anak-anaknya kahwin awal. Kalau rasa anak-anak itu sudah mampu menguruskan sebuah rumah tangga, maka tampunglah. Artikel ini juga bukanlah nak memberat-beratkan orang bujang yang nak menikah. Saya tak rasa pun ini memberat-beratkan. Kalau rasa sudah layak, tiada masalah, kahwinlah. Umur 15 pun saya tak larang kalau dah layak.

Artikel ini wujud supaya generasi hari ini tidak memandang enteng akan perkahwinan dan rumah tangga yang hendak dibina. Pada saya, kahwin adalah ibadah. Kehidupan berumah tangga adalah ibadah. Semuanya ada saham dalam pembentukan ummah. Justeru kita perlu pandang serius akan hal membina rumah tangga. Kalau benar cinta, cinta mesti hendak bersama ke syurga.

Kahwin bukan semata-mata melempiaskan hawa nafsu, bermain-main, syok-syok, suka-suka.

Kahwin adalah untuk membina rumah tangga, madrasah pertama kepada ummah.

Mengapa tidak boleh kita pandang lebih serius akan hal ini?

Kata-kata guru saya amat saya ingati:

“Perkahwinan hanyalah gerbang. Rumah tangga adalah perjalanan selepas kita melepasi gerbang itu.” ~ Pakcik Rosdi bin Baharom, kini Pengarah HEP di Kolej Teknologi Darulnaim, Kelantan.


*************************************************************************************

sesungguhnya pandangan masa hadapan terhijab dari pemikiranku. tak terjangkau dek akal untuk mengetahuinya. Hanya pada Allah ku berserah..ku yakin DIA akan memberikan yg terbaik untukku.


damaikanlah hati, berikanlah ku kefahaman yang bermakna tentang hal ini..


hanya padaMU ku sandarkan harapan..




kita merancang, Allah juga merancang, Namun perancangan Allah adalah yang sebaiknya untuk hambaNya.


Saturday, May 14, 2011

To : Boy
Marry me,
If i make you love Allah more
.




Left me,
If I make you love more than Allah






From : Girl





...just to release & take a break after study an half book of budaya

Sunday, November 14, 2010

Penawar ALLAH penyelesaian terbaik....


Nikah Khitbah satu Alternatif

Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini ,
Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2.
Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3.
Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala
seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5.
Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

  • Masih menuntut di kolej atau uniersiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.



7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka
bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8.
Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah
ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya
Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama
Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan
Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [
jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a]
Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan
Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15.
Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka
kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .




rujukan
http://episodeperjuangan.blogspot.com/2010/08/nikah-khitbah-satu-alternatif.html

Thursday, October 28, 2010

Contoh surat untuk diberikan kepada mak ayah bagi yang nak nikah awal.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Kepada ayah yang ku kasihi dan bonda yang ku cintai…

Apa khabar dengan keluarga di Labuan? Semoga hendaknya dalam keadaan sihat dan mendapat rahmat ALLAH sentiasa.

Ajib pun tak berapa jelas mengapa ajib nak tulis surat ni kepada mak dan ayah. Rasanya sepanjang hidup ni, jarang benar ajib tulis surat untuk mak dan ayah. Selalunya kalau ada apa-apa pun, ajib selalu telefon saja berbanding untuk menulis surat. Tapi adakalanya juga, ada sesetengah perkara yang ajib tak boleh nak cakap melalui telefon dan lebih suka untuk membincangkannya dalam bentuk surat.

Dipendekkan cerita, ajib sebenarnya untuk meminta redha dari mak dan ayah untuk bernikah. Mungkin mak dan ayah terkejut apabila ajib cakap macam nie. Ajib bercadang untuk bernikah dalam tempoh kurang dari satu tahun dari sekarang. Ajib nak nikah nie bukan kerana nafsu semata-mata tapi hanya ingin menyempurnakan sebahagian dari agama. Selain itu, dengan nikah, ajib akan lebih terpelihara daripada melakukan sebarang maksiat kepada ALLAH.

Kadang-kala, ajib rasa hairan, masyarakat sekarang lebih suka anak-anak mereka ada boyfriend dan girlfriend. Kemudian dibenarkan pula berjalan berdua-duaan tanpa mahram perempuan tersebut. Perkara ini haram di sisi Islam. Sedangkan Islam telah memberikan satu jalan keluar yang baik dalam masalah ini iaitu dengan nikah.

Ajib bukan terburu-buru untuk bernikah, tapi ajib nak mak dan ayah boleh faham konsep nikah yang sebenarnya di dalam Islam. Islam menganjurkan nikah adalah untuk mengurangkan berlakunya maksiat di dalam masyarakat seperti zina. ALLAH SWT berfirman:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina…” (Surah al-Isra 17: 32)

Zina takkan terjadi di antara lelaki dan perempuan dengan serta-merta. Zina akan berlaku melalui beberapa step (langkah) yang menghampiri kepada zina sebagai contoh berjalan berduaan lelaki dan perempuan tanpa mahram (boyfriend dan girlfriend). Walaupun bertunang, Islam tidak membenarkan pasangan tunang tersebut untuk berdua-duaan tanpa mahramnya. Tunang bukan tiket untuk menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan. Ini hanya tradisi yang terdapat dalam masyarakat melayu. Islam menyuruh orang muslim untuk bernikah untuk menghalalkan hubungan tersebut.

Mengikut kajian yang dilakukan di sebuah universiti tempatan, 80% mahasiswa yang cemerlang adalah terdiri dari mereka yang telah berkahwin. Ini kerana pasangan yang telah berkahwin, merasakan mereka ada tanggungjawab yang harus mereka pikul, dan akhirnya mereka bersungguh-sungguh dalam pelajaran untuk mencapai kecemerlangan. Jadi, orang yang bagi alasan bahawa menikah sewaktu belajar akan mengganggu study adalah tidak tepat.

Di universiti ajib, ramai pelajar yang ‘bercouple’ dan mereka boleh belajar seperti biasa. Tapi, apa yang mereka buat tu adalah maksiat. Kan elok, kalau ibubapa mereka membenarkan mereka bernikah dan mereka pun boleh belajar seperti biasa. Yang ini adalah yang disuruh dalam Islam. Jadi apa perbezaannya? Yang satu, belajar tapi diiringi dengan maksiat (macam mana nak berkat ilmu yang belajar) dan yang satu lagi belajar dan telah pun menunaikan salah satu sunnah Rasul SAW. Sekarang pilihan di tangan kita, samada nak kepada benda baik atau buruk.

Mengenai calon, ajib takde lagi. Tapi, InsyaALLAH kalau mak dan ayah bagi ajib green light, masalah calon, mak dan ayah jgn risau (bagi tempoh 6-8 bulan), yang penting mak dan ayah bersedia. Ajib lebih suka calon tu ajib yang pilih sendiri. Tapi tak bermakna mak dan ayah tak boleh memilih calon yang sesuai untuk ajib.

Mak dan ayah mungkin akan bertanya bagaimana pulak ajib akan memberikan nafkah zahir dan batin kepada isteri yang ajib nikahi nanti. Seperti yang ajib katakan awal-awal tadi, ajib nak nikah bukan kerana nafsu semata-mata. Dalam tempoh ajib belajar, dan kemungkinan juga perempuan tu juga sedang menuntut di unversiti, maka ajib akan buat syarat yang dipersetujui bersama untuk menangguhkan dahulu nafkah batin untuk tempoh tertentu. Dalam sirah Rasulullah SAW, Rasul bernikah dengan dengan Saiditina Aisyah ketika Aisyah berumur 9 tahun dan berumah tangga dengannya pada umur Aisyah mencecah 12 tahun. Ini bermakna Rasulullah menunaikan nafkah batin untuk Aisyah ketika mana Aisyah berumur 12 tahun, iaitu 3 tahun selepas menikah. Kalau dalam istilah kita dipanggil ‘nikah gantung’. Tak kisah lah apa pun namanya yang penting Rasulullah telah mencontohkan perkara seperti itu. Tapi selepas menikah, maka hubungan lelaki dan perempuan yang dulunya terbatas kini telah tiada. Kalau ajib telefon dia, ajib dapat pahala, ajib rindu kat dia, ajib dapat pahala, ajib bagi hadiah kat dia, ajib dapat pahala malahan kalau ajib keluar berdua-duaan dengannya adalah halal. Kan ini lebih baik dari mereka yang ber ‘couple’. Kalau pasangan yang belum menikah, mereka telefon sesama sendiri, dipanggil zina mulut dan telinga (dosa), rasa rindu di hati dipanggil zina hati (dosa), keluar berdua-duaan lagi, tambah lagi satu dosa. Jadi, ajib nak tanya pada mak dan ayah, adakah mak dan ayah sanggup untuk membiarkan anaknya untuk bergelumang dengan dosa atau mengikut Sunnah Rasul yang tercinta iaitu nikah. Sekarang pilihan di tangan kita…

Berkenaan nafkah zahir pula, memandangkan ajib masih belajar dan mungkin juga dia masih belajar, maka ana akan berbincang dengannya untuk mempertimbangkan perkara ini. Nafkah zahir wajib ajib bagi sebagai suami walaupun dalam jumlah sedikit. Sebagai contoh, kalau nanti dia setuju untuk menerima RM 50 sebulan, maka ajib akan bagi dia sesuai dengan kehendaknya. Lagipun, untuk sementara waktu ini, biarlah mak dan ayahnya menanggung makan, minum dan pakaiannya walaupun sebenarnya ini tugas seorang suami. Tapi tak salah kalau ibu bapa sanggup untuk menyara kehidupannya sementara menunggu waktu apabila sudah bersedia berumah tangga. (minta dibezakan antara erti nikah dan berumah tangga). Macam sekarang ni lah, kalau nenek bagi mak baju sebagai hadiah, takkan mak tak terima dan bagi alasan kewajipan beri pakaian ini hanya terletak pada suami. Mak akan terima juga. Kalau nenek menjamu mak dengan makanan, mak jangan tak makan kerana dengan alasan yang patut menanggung makan minum kita adalah suami. Yang penting, isteri mesti redha dengan apa yang diberi oleh suami. Kalau mak dan ayah masih kurang jelas, mak boleh bertanya kepada ustaz mengenai masalah ini. Mak dan ayah jgn risau, sebelum ajib nak nikah, ajib akan jelaskan hal ini kepada bakal isteri ajib. Kalau dia menyetujuinya, alhamdulillah, kalau tak ajib tangguh dulu. Apa-apa pun, ajib tegaskan sekali lagi, ajib nikah ni bukan kerana nafsu semata-mata, tetapi adalah untuk memelihara seluruh anggota zahir dan batin ini dari terjebak ke lembah dosa.

Ajib tengok semua abang ajib nikah awal dalam umur 22 tahun. Ajib cadang pun gitu juga. Banyak juga kelebihan kahwin awal ni antaranya waktu ajib tua nanti, ajib tak risau sebab waktu tu anak-anak dah besar dan mungkin dah ada kerjaya sendiri. Kalau kahwin lambat, nanti waktu tua (dah pencen), ada anak-anak ajib nanti baru masuk darjah satu, ada yang ambik PMR dan SPM dan perlu banyak duit. Waktu dah pencen, nak harap wang pencen, sikit sangat. Mau tak mau, dah tua-tua kena kerja juga banting tulang nak sara anak-anak yang masih sekolah. Sepatutnya waktu tu, ajal nak dekat sampai, patutnya lebih banyak beribadat kepada ALLAH. (tak bermaksud sekarang tak perlu nak beribadat, ajal dan maut di tangan Tuhan. Tua pun mati, yang muda pun mati). Ajib juga harap, anak-anak ajib nanti (kalau ada rezeki) akan dapat menerima belai kasih dari datuk dan neneknya sebelum mak dan ayah meninggalkan dunia yang fana ini.

Dan kelebihan yang lebih besar dari itu ialah kita dapat menundukkan pandangan dan nafsu kita dari bermaksiat kepada ALLAH di samping mengikut sunnah Rasul SAW. Dalam umur muda nie, macam-macam dugaan dan cabaran yang menanti. Punca maksiat ada di mana-mana. Ajib tak nak ajib akan terjerumus ke dalam jurang dosa dan lebih-lebih lagi harapan mak dan ayah untuk tidak nak melihat anaknya untuk menderhaka kepada ALLAH dan Rasul.

Ajib sebenarnya dah buat satu risalah mengenai nikah ni tahun lepas dan ajib dah pos ke rumah pada tahun lepas juga. Tapi sampai kat Usu Mol, sebab ajib tak tulis nama mak dan ayah. InsyaALLAH dalam risalah tu ajib ada terangkan tentang konsep perkahwinan di dalam Islam.

Diharap mak dan ayah tak terkejut dengan kehadiran surat ini. Ajib nak mak dan ayah terima surat sebagai satu surat biasa yang tak perlu untuk dijadikan isu keluarga yang besar. Sebab bagi ajib, kalau ajib membicarakan masalah ni, ia adalah satu yang normal sebab ajib pun seorang lelaki yang akhirnya akan bernikah jua. Mungkin saja ajib membicarakan hal nikah ni ketika mana ajib baru berusia 20 tahun (dalam tahun Islam, ajib dah 21 tahun). Tapi ini tak boleh dijadikan alasan untuk tidak menyetujui pendapat ajib ini. Diharap mak dan ayah dapat membaca surat dengan ikhlas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Ajib tidak memaksa mak ayah untuk menyetujui seratus peratus apa yang ajib katakan ini, tapi jika ada kebenaran dalam hakikat, apa salahnya untuk kita menerimanya dengan hati yang lapang dan fikiran yang terbuka.

Kalau boleh jgn bagitau abg jul dan abg didi, mungkin mereka tak setuju dengan keputusan ajib ini atas beberapa faktor. InsyaALLAH, kalau ada apa-apa nanti, ajib akan maklumkan kepada mereka. Sebenarnya bagi seorang lelaki, dia tak perlu untuk minta izin kalau nak nikah tetapi Islam menyuruh kita tidak membelakangi orang tua dalam kita nak buat keputusan. Sebab redha ALLAH adalah berserta dengan keredhaan mak dan ayah. Berbanding dengan perempuan, mereka harus minta izin, sebab ayahnya harus jadi wali dalam pernikahan nanti.

Akhirul kalam, doakan ajib di sini agar dipermudahkan urusan di dunia dan di akhirat. Kirim salam dengan semua keluarga di Labuan.


Puteramu,
Ajib



p/s :
*** sy suka bc surat ni..mudah- mudahan dipermudahkan dlm setiap urusan yg akan datang. mudah- mudahan keluarga yg mawaddah dan sakinah dpt dibentuk. permudahkanlah urusanku, dan tetapkanlah hatiku pada cintaMu ya ALLAH ya RAHMAN***

Monday, October 25, 2010

Muhasabah dri sblom kawen! let's check out! [10 Sifat Calon Suami Yang Baik]


Jika anda seorang wanita, carilah lelaki yang mempunyai sifat-sifat berikut.

Jika anda seorang lelaki, jadilah seorang lelaki yang mempunyai sifat-sifat berikut.

1. Kuat amalan agamanya. Menjaga solat fardhu, kerap berjemaah dan solat pada awal waktu. Auratnya juga sentiasa dipelihara dan memakai pakaian yang sopan. Sifat ini boleh dilihat terutama sewaktu bersukan.

2. Akhlaknya baik, iaitu seorang yang nampak tegas, tetapi sebenarnya seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Pertuturannya juga mesti sopan, melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia.

3. Tegas mempertahankan maruahnya. Tidak berkunjung ke tempat-tempat yang boleh menjatuhkan kredibilitinya.

4. Amanah, tidak mengabaikan tugas yang diberikan dan tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

5. Tidak boros, tetapi tidak kedekut. Tahu membelanjakan wang dengan bijaksana.

6. Menjaga mata dengan tidak melihat perempuan lain yang lalu lalang ketika sedang bercakap-cakap.

7. Pergaulan yang terbatas, tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun dia tahu dirinya mampu berbuat demikian.

8. Mempunyai rakan pergaulan yang baik. Rakan pergaulan seseorang itu biasanya sama.

9. Bertanggungjawab. Lihatlah dia dengan keluarga dan ibu bapanya.

10. Wajah yang tenang, tidak kira semasa bercakap atau membuat kerja atau masa kecemasan.

Thursday, October 21, 2010

Jodoh di Tangan ALLAH...


Pada suatu hari, Saya bertanya kepada emak, "Maa satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? "Mak jawab, "dua-dua bukan.." Saya tercengang..Mak mengukir senyuman.

"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." Saya menarik nafas dalam-dalam."Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya."Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.

"Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. " mak menyusun ayat-ayatnya."Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjolkan oleh seseorang tu.."

Saya memintas, "Tak faham.."Mak menyambung "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.." Mak menyambung lagi,"begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.."

Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..

Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika.Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi.Emak buat-buat tidak nampak.

Secret Admire

"Kakak, mak dulu masa remaja ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat ..Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh. .lama budak tu tunggu mak..Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak..

Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu." Mak merenung jauh.Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

"Mak memang tak ada perasaan langsung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil."Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu..Mak takut pada Allah.

Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.."Mak, seperti kakak.." mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya.kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

"Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung.

Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.."emak melemparkan pandangan ke lantai. "Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak.

Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama da tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air liurnya. Saya diam.

Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

Adakah ia suatu diskriminasi?

"Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita

jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada

sesuatu keistimewaan pada seseorang tu.

Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas

jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak

akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh

cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple

mungkin.. Tetapi bukan berkahwin... Kerana kita

berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah

tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang

kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan

dikahwinkan dengannya.."

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya

kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan,

"Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi

hambaNya..Sesungguh nya, yang selalu menzalimi

hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnya

hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang

bukan milik dia.

Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai

antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi

apabila kita mencintai saudara perempuan, kita

bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita

ada batas-batasnya.

Orang kafir kata batas-batas ini suatu

diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat

itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki

dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita

mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna

agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya.

Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula

dengan yang lain..

Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan

dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha

Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama

bekerjasama untuk mencari redha Allah..

Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan

untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang

awalnya." emak berhenti seketika.. Bukan luar

biasa...

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya

persoalan hati ini.

"Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh

cinta bukan perkara luar biasa..Dan berkahwin pun

bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada

lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang

curang, suami yang curang..

Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang

penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita

supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta

itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia.

Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang

kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si

dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita,

segala perkara yang kita cintai dan sayangi

termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah..

Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu,

beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita

benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.

."

"Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita

sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu

untuk mengawalnya. . Hanya Allah yang boleh

memegangnya. . Sebab tu kita kena dekatkan diri

dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-

kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam

hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa

tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa

sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta

dengan Allah..Bercinta dengan Allah sangat berbeza

dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah

pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan,

sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta

dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu..

Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang

pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. "

Redha

"Kakak.. Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan

untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak

mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau

yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau

dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang

ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap

insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing

-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat

mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna

dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil

kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si

lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak..

Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. "

Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri. Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat.

"Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara.."

Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya...

- dipetik drpd Hizb Addeen-


***********************************

Ya Allah, kuatkanlah & tunjukkanlah pada diri hambaMu ini dalam mencari keredhaanMu

Ya Malik, tolonglah hambaMu ini agar tidak menjadi fitnah kepada agamanya sendiri

Ya Rahman, ampunilah dosa dan kekhilafan hambaMu ini

Ya Rahim, kurniakanlah pada hambaMu cinta seorang hamba yang menyerahkan cintanya padaMu melebihi drpd cinta pada manusia

Ya Allah, bantulah hambaMu ini agar dapat menyiapkan diri menjadi sayap kiri pernjuangan pasangannya dalam agamaMu

Ya Ghaffar, ampunilah segala dosa hambaMu ini..